Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 25 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, petang tadi berkenan menerima mengadap Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Republik Singapura, Yang Berhormat Profesor Madya Dr. Muhammad Faishal Ibrahim, yang mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam (NBD) ini selama dua hari.
Turut menyertai Yang Berhormat pada Majlis Mengadap tersebut, Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke NBD, Tuan Yang Terutama Laurence Bay; Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Tuan Kadir Maideen; dan Timbalan Mufti MUIS, Dr. Mohd Murat Md Aris.
Juga hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Lawatan berkenaan merupakan lawatan pengenalan Yang Berhormat ke NBD sejak pelantikannya selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri pada 23 Mei 2025.
Selain itu, lawatan berkenaan juga memberi peluang kepada kedua-dua buah negara untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang-bidang yang berkepentingan bersama, termasuk hal ehwal ugama.
NBD dan Republik Singapura baru-baru ini juga telah mengesahkan kembali komitmen untuk mendukung hubungan istimewa dan unik yang telah lama terjalin melalui Program Pemimpin-pemimpin Muda Ke-11 (Young Leaders' Programme - YLP) yang diadakan di Bandar Seri Begawan pada 3 hingga 4 November 2025.
Majlis Mengadap tersebut berlangsung di Istana Nurul Iman.